VALENTINE NGUMBANG
LUBOK ANTU: Dua buah helikopter digunakan untuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk di kawasan pedalaman Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai di sini semalam.
Setiausaha Sulit kepada Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Jack Meredan berkata perkhidmatan helikopter digunakan untuk kawasan yang jauh dan sukar diakseskan dengan jalan darat.
Katanya antara kawasan yang jauh dan sukar diakseskan dengan laluan jalan darat di sini adalah Ulu Lemanak dan Ulu Engkari.
“Penghantaran bantuan makanan semalam melibatkan 14 penerbangan ulang alik helikopter yang berlepas dari pusat pengagihan di Kompleks Sukan Lubok Antu.
“Selain menggunakan pengangkutan udara, penghantaran bekalan makanan kepada penduduk di sini juga menggunakan pengangkutan darat termasuk laluan balak,” katanya.
Jack turut memberitahu Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa Indutsri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Malcom Mussen Lamoh turut menyalur dana bagi menjayakan program bantuan makanan kepada penduduk di sini.
“Selain bantuan bekalan makanan yang diberi melalui peruntukan kerajaan negeri kepada setiap kawasan DUN, penduduk di DUN Batang Ai turut menerima bantuan makanan menerusi dana yang disalur oleh Mussen sejak 1 April lepas,”katanya.
Sarawak Energy Berhad turut memberikan sumbangan kepada penduduk di 28 rumah panjang Skim Penempatan Semula Batang Ai melalui Program Tanggunggjawab Sosial mereka. Untuk rekod, DUN Batang Ai mempunyai 3,978 ketua isi rumah.