IPOH: Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh hari ini membuat laporan polis berkaitan satu fitnah terhadap Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam laman sosial Facebook.
Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini pagi semalam.
Mohd Hafez Mubin berkata, kenyataan berunsur fitnah itu dimuatnaik oleh pemilik akaun Facebook bernama Mohszin Mokhtar pada Sabtu lepas kira-kira jam 2.41 petang dengan menyatakan, ‘Kakak saya menjual rumah pada tahun 2017 dan wang berjumlah RM168,000 telah disonglap oleh seorang peguam bernama FR.’
“Pada Ahad lepas, kira-kira jam 9.49 malam, Mohszin memuat naik satu lagi status berunsur fitnah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis berkenaan.
Beliau berkata, kenyataan yang dimuatnaik pada Ahad lepas tertulis antaranya “Dengan jelas mengatakan yang MB (Menteri Besar) support dia (Firdaus) dan menyatakan yang mereka sedang uruskan projek bernilai RM20 juta di Teluk Intan. Hati kecil saya masih berharap yang Peja tidak terlibat dalam skandal RM20 juta ini. Kerana saya menghormati gaya pimpinannya. Tapi melihat kepada hubungan rapat Firdaus Rizal dan Mubin Saleh. Seterusnya Mubin dan Peja. Saya berasa sangsi dan pasrah.”
Mohd Hafez Mubin berkata, pihaknya meminta polis agar menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan. – BERNAMA