

KAPIT: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya memindahkan tiga sekeluarga di Jalan Airport ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Asrama Belia Jalan Bleteh, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memberitahu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit dihantar ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 5.04 petang.
“Setibanya di lokasi, ada tiga sekeluarga iaitu seorang lelaki dewasa dan seorang perempuan dewasa serta seorang kanak-kanak minta bantuan untuk dipindahkan PPS di Asrama Belia Jalan Bleteh.
“Pihak bomba segera menuju ke rumah mangsa dengan menaiki perahu panjang yang disediakan oleh penghuni kawasan tersebut.
“Ketiga-tiga mangsa berjaya dibawa ke tempat selamat dan seterusnya dibawa ke PPS dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD) pihak APM,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu turut memberitahu, pihak bomba juga telah membantu memindahkan seramai lima orang mangsa menaiki 4WD ke PPS.
“Lima orang mangsa tersebut telah menunggu di tempat selamat sebelum pihak bomba tiba. Untuk setakat ini, seramai 19 orang mangsa banjir berjaya dipindah ke PPS oleh pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
OLEH AKUN GIMAN