KUALA LUMPUR: Inisiatif pengawalseliaan yang dicadangkan bertujuan meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi sektor penjagaan kesihatan, termasuk pengawalseliaan diri untuk iklan penjagaan kesihatan swasta dijangka memberi manfaat kepada pendapatan pelancongan kesihatan sebanyak RM2.1 bilion di Malaysia.
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dalam kenyataan berkata, inisiatif yang dicadangkan itu, melibatkan tiga dimensi utama terutamanya peraturan, teknologi dan inovasi serta tenaga kerja dan prestasi, akan menyaksikan peraturan semasa akan dipinda membolehkan amalan pengawalseliaan diri dalam iklan penjagaan kesihatan swasta.
Ia turut dijangka memberi impak berganda kepada ekonomi dalam sektor seperti penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman serta peruncitan.
MPC berkata sebelum ini, ia memerlukan lebih 800 hari untuk mendapat kelulusan bagi mendirikan hospital swasta yang baharu.
Selepas melaksanakan pelbagai inisiatif seperti kajian awal, program pendidikan dan mengeluarkan empat buku panduan, seluruh proses dikurangkan kepada 300 hari pada 2019.
Garis panduan yang sedia digunakan akan dikeluarkan dan permohonan permit dalam talian akan diperkenalkan untuk meningkatkan lagi proses permohonan untuk mendirikan hospital swasta yang baharu.
Dengan penambahbaikan terkini itu, seluruh proses permohonan dijangka mengambil masa kurang daripada 100 hari dan akan sedia digunakan pada akhir tahun ini.
“Bagi teknologi dan inovasi, berkongsi sumber teknologi perubatan yang kurang digunakan dicadangkan. Inisiatif ini mengoptimumkan pembentukan model penggunaan sumber Kerjasama Awam-Swasta (PPP) untuk membolehkan perkongsian sumber dan kemudahan antara hospital awam dan swasta.
“Ia akan turut meningkatkan penyertaan sektor swasta dan menambah baik penyampaian kemudahan awam,” menurut MPC.
Bagi tenaga kerja dan prestasi, inisiatif itu dicadangkan untuk mengenal pasti dan membolehkan hospital swasta terpilih menjadi pusat latihan khusus di kawasan yang mendapat permintaan tinggi yang akan mengatasi kekurangan pakar perubatan dalam bidang utama tertentu di negara ini.
Katanya rangka kerja standard akan dibangunkan untuk hospital swasta sebagai pusat latihan khusus.
Inisiatif pengawalseliaan telah diperkenalkan sejak 2017, dengan kerjasama MPC, Nexus Produktiviti Penjagaan Kesihatan Swasta (PHPN) dan Kementerian Kesihatan (MOH).
Ia turut melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) Kumpulan Fokus Urusan Permit Pembinaan (FGDCP). – Bernama