VALENTINE NGUMBANG
SIMANGGANG: Mini Stadium Sri Aman telah dijadikan sebagai Pusat Penempatan Sementara Gelandangan untuk membantu mencegah penularan wabak pandemik COVID-19 di kawasan ini.
Pusat berkenaan dikendalikan oleh pihak Unit Penguatkuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sri Aman dengan 12 orang gelandangan yang sudah dikenal pasti telah pun ditempatkan di situ bermula semalam.
“Tiga daripada 12 orang gelandangan di sini adalah merupakan pekerja yang tidak dapat pulang ke Semenanjung Malaysia ekoran kehabisan wang perbelanjaan semenjak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.
“Kesemua mereka akan diberi makanan sebanyak tiga kali sehari bersama dengan ‘hygiene set’ dan tilam di Pusat Penempatan Sementara Gelandangan ini sehingga PKP ditamatkan kelak,” kata Mohd Nazri Sharkawi dari Unit Penguatkuasa JKM Bahagian Sri Aman.
Selain itu pihak JKM Bahagian Sri Aman kata beliau juga akan terus bertindak mencari individu gelandangan yang masih belum dikenal pasti menerusi laporan polis dan orang ramai di kawasan ini.
Malahan pihaknya kata beliau juga sedia membantu mana-mana individu terdampar yang amat memerlukan bantuan makanan dan tempat tinggal di Pusat Penempatan Sementara Gelandangan ini disebabkan oleh perlaksanaan PKP pada masa sekarang.
“Mereka hanya perlu tampil ke Pejabat JKM di sini atau menghubungi kita di talian 083 321730 sebelum pemeriksaan dibuat untuk memastikan sama ada mereka layak atau tidak menerima bantuan seperti itu kelak,” kata beliau.
Nazri juga turut memberitahu bahawa JKM Bahagian Sri Aman terlebih dahulu telah pun bertindak menghulurkan bantuan makanan kepada golongan gelandangan dalam seluruh kawasan Bandar Simanggang ini bermula 23 Mac lepas.
Terdahulu operasi mengumpul individu gelandangan di bandar ini telah pun melibatkan penyertaan pihak polis, kakitangan Pejabat Kesihatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di sini.
Pihak Pejabat Kesihatan dan AADK Sri Aman menerusi operasi itu bertindak melakukan saringan kesihatan serta ujian air kencing sebelum kesemua gelandangan yang dikumpul ditempatkan di pusat berkenaan.
Turut menyertai operasi tersebut adalah Denny Sukon dari Unit Penguatkuasa JKM Bahagian Sri Aman, Pegawai APM Daerah Sri Aman, Kapten (PA) Siti Huzaimah Ibrahim, Ketua AADK Sri Aman, Peli Robert dan pemangku Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Joshua Ijau.
Difahamkan bahawa dua gelandangan yang sudah dikenali pasti di Bandar Simanggang sebelum ini sedang menjalani rawatan atas punca lain-lain penyakit di Hospital Sri Aman dan Hospital Umum Sarawak, Kuching pada masa sekarang.