SEMATAN: Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat ke atas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dengan memperkenalkan kaedah baharu pengukuran yang lebih efisien dan memberi impak besar merangkumi semua Bumiputera di seluruh Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kaedah pengukuran baharu yang diperkenalkan pada Oktober 2010 itu dilaksanakan secara dua peringkat.
“Peringkat pertama, pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebagai Rizab Komunal Bumiputera Pertanian dan peringkat kedua pula adalah pengukuran secara lot individu dan pengeluaran surat hakmilik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.
“Usaha pengukuran tanah bukan perkara baharu atau desakan politik semata-mata kerana ia telah mula dilaksanakan sejak tahun 1960-an lagi melalui program seperti Operasi Penyelesaian, Pengukuran Bahagian III Kanun Tanah Negeri dan Pengukuran Kampung Tradisional.
“Kaedah baharu lebih efisien dibuktikan melalui pencapaian kerja ukur seluas lebih kurang 934,288 hektar atau 2.3 juta ekar telah berjaya diukur perimeternya melalui peringkat pertama, dan daripada jumlah tersebut seluas lebih kurang 753,456 hektar atau 1.8 juta ekar telah pun diwartakan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan dan Sumber Asli Kedua berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18, Kanun Tanah Negeri Kampung Pueh Sematan di Kem Putra Sentosa, Sematan, semalam.
“Maknanya, dengan kaedah baharu ini, tanah NCR dapat diukur secara puratanya seluas 103,809 hektar setahun iaitu berjaya meningkatkan output pengukuran tanah NCR hampir 20 kali ganda berbanding kaedah lama.
“Kaedah terdahulu didapati kurang efisien kerana dalam tempoh lebih kurang 50 tahun sejak tahun 1960-an sehingga tahun 2010, hanya seluas lebih kurang 260,000 hektar atau 642,460 ekar tanah NCR yang berjaya diselesaikan. Ini bermakna secara purata hanya seluas 5,200 hektar tanah NCR dapat diukur setahun,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan kerja pengukuran perimeter itu dilaksanakan berdasarkan permohonan dan permintaan penuntut tanah NCR sendiri dan jika mereka tidak mahu tanah mereka diukur perimeter, kerja pengukuran tidak akan dilaksanakan.
“Bagi kes-kes yang masih dalam pertikaian dan perbicaraan di mahkamah, kerja pengukuran tidak akan dilaksanakan kecualilah kes tersebut telahpun diselesaikan atau ditarik balik oleh mereka yang terlibat.
“Namun begitu, sekiranya mahu menyertai Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu ini, permohonan baharu perlulah dikemukakan semula,” jelasnya.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu.
Oleh Zarina Abdullah