
MANCHESTER: Manchester United mara ke suku akhir Liga Europa selepas Bruno Fernandes menampilkan hatrik dalam kemenangan 4-1 ke atas Real Sociedad awal pagi tadi.
United akan berdepan Olympique Lyonnais dalam pusingan lapan terakhir selepas kelab Perancis itu menewaskan Steaua Bucharest 4-0.
Selepas seri 1-1 di Sepanyol, United ketinggalan satu gol pada minit ke-10 aksi timbal balik di Old Trafford apabila Matthijs de Ligt mengasari Mikel Oyarzabal.
Oyarzabal sendiri menyempurnakan sepakan penalti berkenaan namun United kembali menyamakan kedudukan enam minit kemudian, juga menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Fernandes selepas Igor Zubeldia mengasari Rasmus Hojlund.
Satu lagi penalti meletakkan United di depan lima minit selepas rehat, dengan Aritz Elustondo dipersalahkan kerana mengasari Patrick Dorgu dan Fernandes sekali lagi menyempurnakan sepakan.
Sociedad terpaksa bermain 10 orang apabila Jon Aramburu mengasari Joshua Zirkzee, Fernandes melengkapkan hatriknya dan Diogo Dalot mengesahkan kemenangan 5-2 secara agregat dalam masa tambahan.
“Kelab ini adalah tentang kemenangan. Keyakinan amat penting dalam bola sepak dan di kelab ini ia lebih besar kerana anda tahu peminat mahu anda beraksi di peringkat tertinggi,” kata Fernandes.-AFP