KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menambahbaik garis panduan prosedur operasi standard (SOP) untuk sektor peruncitan iaitu dobi, kedai pakaian dan aksesori fesyen serta aktiviti pawagam berkuatkuasa serta merta.
Pengerusi JPBNS merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata penambahbaikan SOP itu dilaksanakan melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak (MLGH).
Sementara itu, pergerakan semua guru yang masuk ke Sarawak setelah balik bercuti, tidak akan dikuarantin berkuatkuasa serta merta, katanya.
“Mereka akan diterima sebagai perjalanan merentas negeri untuk rakyat Malaysia namun akan terlibat ujian saringan secara rawak dan tetap mengisi borang deklerasi E-Kesihatan,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Beliau berkata pergerakan ke Sarawak melintasi negara Brunei melalui darat (merentas sempadan) tidak perlu mendapatkan Kelulusan JPBNS dan Polis.
“Namun, bagi mereka yang telah bermalam atau memasuki negara Brunei transit melalui jalan udara di Brunei, mereka masih memerlukan kelulusan JPBNS untuk masuk ke Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu Uggah mendedahkan semalam sebanyak 2,141 premis telah dipantau iaitu pasaraya (385), restoran (420), kilang (20), bank (217), pejabat kerajaan (96), penjaja (41), pasar tani/awam (117), tempat ibadah (111), tempat riadah (70), tapak pembinaan (25) dan lain-lain (639).
“Sebanyak 636 pasukan pematuhan PKPP yang terdiri daripada PDRM (319), ATM (39), RELA (136), APM (87), PBT (53), dan agensi lain (2) terlibat dalam pemantauan itu,” katanya lagi.
Semalam juga terdapat enam sekatan jalan raya di lima daerah sempena Op Benteng iaitu di Lundu (2), Bau (1), Serian (1), Sri Aman (1) dan Lubok Antu (1). Daripada enam sekatan jalan raya tersebut, sebanyak 899 jumlah kenderaan telah diperiksa.
Selain itu, seramai 78 Person Under Surveillance (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin, menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 11 buah hotel adalah 667 orang.
“Manakala seramai 17,943 PUS telah tamat menjalani tempoh kuarantin,” jelasnya dan dua lokasi operasi nyahcemar dilakukan dan menjadikan bilangan kumulatif di Sarawak adalah 1,358 lokasi.
Oleh Diyana Samsuddin