
BEKENU: Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Miri telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM4,287,150 bagi bantuan bulanan untuk 4,564 penerima, setakat Januari sehingga Februari 2025.
Bagi Daerah Subis setakat Januari sehingga Februari 2025, JKM telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM921,600 bantuan bulanan untuk 1,004 orang.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus berkata demikian pada majlis Sejambak Kasih Aidilfitri anjuran JKM Miri di Dewan Masyarakat di sini hari ini.
Katanya, majlis tersebut bertujuan meringankan beban kewangan serta menceriakan penerima bantuan beragama Islam sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini khasnya kawasan Bekenu dan untuk membantu meningkatkan kualiti hidup di kalangan keluarga yang kurang berkemampuan.
“Bagi 2025, seramai 738 orang yang menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri daripada 4,546 orang penerima jumlah keseluruhan penerima bantuan bulanan kebajikan di Bahagian Miri.
“Di Bekenu, seramai 270 penerima beragama Islam menyambut perayaan ini, namun hanya 100 orang yang dijemput hadir untuk menerima sumbangan wang tunai bernilai RM100 setiap seorang.
“Manakala, 170 orang lagi yang tidak berpeluang hadir hari ini sumbangan RM100.00 akan dikreditkan ke akaun masing-masing,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu menambah, bantuan bulanan itu adalah terdiri daripada lapan skim bantuan.
Lapan skim bantuan ialah Bantuan Warga Emas (BWE), Bantuan Kanak-Kanak (BKK), Bantuan Am (BA), Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU), Bantuan Penjagaan OKU/ Pesakit Kronik Terlantar (BPT), Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB), Bantuan Anak Pelihara (BAP) dan Bantuan Belia-Beliawanis (BBB).
Turut hadir, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri Vivian Engkiong, Pemanca Dr Ali Mudin dan ketua kaum setempat.
Oleh Adum Liu