MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Miri menahan sebuah bot tunda membawa tongkang di perairan Miri pagi semalam yang berkedudukan jarak lebih kurang 10 batu nautika dari Muara Sungai Miri.
Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama (M) Robert Teh Geok Chuan berkata, kejadian sekitar jam 3.30 pagi semalam, menerusi operasi yang dijalankan di perairan Miri, sebuah bot tunda membawa tongkang dikesan sedang bergerak pada jarak lebih kurang 10 batu nautika dari Muara Sungai Miri dan telah ditahan untuk melakukan pemeriksaan oleh bot ronda Maritim Malaysia.
Katanya, hasil pemeriksaan telah mendapati mereka gagal untuk mengemukakan dokumen Sijil Pendaftaran.
“Kesemua anak kapal terdiri daripada tiga warganegara tempatan, seorang warganegara India dan Indonesia dikesan di atas bot tunda dan tongkang tersebut dengan mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap.
“Bot tunda dan tongkang tersebut diiring ke Kawasan Bersauh Miri untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat, kes akan disiasat di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952”, katanya lagi.
Pengarah Maritim Sarawak menambah, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan penguatkuasaan undang-undang Maritim di perairan Negara.
Tambahnya, adalah dinasihatkan komuniti maritim agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan harta, di mana pada waktu sekarang laut agak bergelora dan cuaca yang agak kurang baik.
Kerjasama daripada masyarakat terutamanya komuniti maritim dalam memberikan maklumat amat dialu-alukan bagi membantu Maritim Malaysia dalam membanteras jenayah di laut.
Sebarang aduan, maklum balas serta kecemasan di laut, orang awam boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544.
Oleh Adum Liu / Zarina Abdullah