
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi menghadiri Majlis Berbuka Puasa Kontinjen Sarawak anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Masjid Al-Mujahiddin, Kompleks Perumahan Polis Tabuan Jaya, semalam.
Ketibaan Tun Wan Junaidi, dan Toh Puan disambut oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Dato’ Mancha Ata, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak SAC Wong Ing Fung, Ketua Jabatan Pengurusan IPK Sarawak SAC Rizal Abd Rahman Sidek serta Ketua Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (KJIPS) Sarawak ACP Roselina Daud.
Turut hadir pada majlis yang sama ialah Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd. Sofi bin Md. Lepi, bersama lebih 200 pegawai dan anggota PDRM Sarawak.
Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Quran oleh Nordin Putit, Johan Qari Majlis Tilawah Al-Quran Daerah Kuching 2024, yang menambahkan keberkatan suasana. Para tetamu kemudian menikmati juadah berbuka dalam suasana penuh kesyukuran sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah, diikuti jamuan utama.
Tun Wan Junaidi menzahirkan penghargaan kepada PDRM atas penganjuran majlis ini, yang bukan sahaja mempererat hubungan silaturahim dalam kalangan anggota keselamatan, malah menyemarakkan nilai kebersamaan dan perpaduan dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Beliau berharap agar tradisi ini terus dikekalkan sebagai wadah untuk memperkukuh semangat kekitaan serta menghargai dedikasi, dan pengorbanan pasukan keselamatan dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan negara.