
SIMANGGANG: Sambutan bulan Ramadan di Sarawak pada tahun ini dimeriahkan dengan pengenalan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ketua Cawangan KPDN Sri Aman, Qartinee Mohamad Esa, berkata BRR ini akan diadakan di lima lokasi menarik di seluruh negeri, menawarkan pengalaman berbelanja yang lebih menarik dan bermanfaat kepada pengunjung.
“KPDN Sri Aman telah mengadakan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) BRR Peringkat Negeri Sarawak bertempat di Simanggang Ramadan Fest, Jalan Kelab di sini petang, semalam.

“Pengunjung berpeluang menerima baucar e-wallet Touch ‘n Go bernilai RM20 secara percuma. Tawaran ini terhad kepada 150 pengunjung terawal di setiap lokasi sepanjang bulan Ramadan,” katanya.
Qartinee berkata baucar ini hanya boleh digunakan di lima lokasi terpilih BRR selain Simanggang iaitu di Bazar Ramadan Metrocity Matang, Kuching (10-27 Mac), Perkarangan Dewan Sentral Market, Mukah (14 Mac), Tempat Letak Kereta Farley, Sibu (15 dan 16 Mac), Dataran Esplanade, Bintulu (17 dan 18 Mac).
“Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai Menu Rahmah yang lazat dan berpatutan di gerai-gerai terpilih sepanjang bazar berlangsung.
“Bazar Ramadan Rahmah tahun ini menawarkan peluang kepada pengunjung untuk berbelanja sambil berjimat, dengan tawaran menarik seperti baucar e-wallet percuma dan Menu Rahmah yang berpatutan. Ini adalah peluang keemasan untuk masyarakat Sarawak menyambut Ramadan dengan penuh kemeriahan dan manfaat.
“Jadi, jangan lepaskan peluang ini untuk merasai pengalaman berbelanja yang unik dan menjimatkan di BRR tahun ini,” katanya.
Objektif program adalah bagi menggalakkan peniaga menawarkan Menu Rahmah di samping mengadaptasikan pembelian secara digital dalam setiap transaksi.
Orang ramai boleh mengimbas kod QR yang tertera atau layari Portal Rasmi KPDN untuk mendapatkan maklumat 95 lokasi BRR yang kini dilaksanakan bermula 2 hingga 30 Mac ini di seluruh negara.
Dalam pada itu, Program BRR telah mula dilaksanakan sejak tahun 2023 sebagai langkah untuk menggalakkan peniaga-peniaga menawarkan Menu Rahmah dan melaksanakan transaksi perniagaan tanpa tunai.
Pelaksanaan program BRR di seluruh negara ini telah memberi manfaat kepada peniaga dan pengguna melalui pemberian insentif tanpa tunai.
Oleh Adi Safarman