

KABONG: Peniaga bazar Ramadan di sini diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga makanan sepanjang Ramadan ini.
Sebaliknya, mereka seharusnya menjual makanan pada harga yang berpatutan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir.
Tegasnya, jika harga makanan atau minuman yang dijual terlalu tinggi, ia juga akan ‘menakutkan’ pelanggan dan menjejaskan perniagaan.
“Ramadan adalah hari baik dan bulan baik… kita harus bersikap baik hati kepada orang lain (pembeli). Janganlah pula mengeksplotasi Ramadan dengan melambungkan harga makanan,” katanya semasa berucap merasmikan Bazar Ramadan Kabong 2025 di Pusat Penjaja Kabong, petang tadi.
Sementara itu, Chee Kadir menambah peniaga Bazar Ramadan di sini juga diingatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan dan kualiti juadah berbuka puasa yang dijual kepada para pengunjung.
Beliau berkata kebersihan merupakan faktor yang paling penting dalam mengendalikan makanan dan minuman.

“Saya menasihatkan kepada para peniaga di bazar Ramadan agar menjaga kualiti produk makanan yang dijual. Para peniaga diminta untuk memastikan produk yang dijual berkualiti dan memenuhi kehendak pelanggan. Kualiti produk yang baik akan meningkatkan kepercayaan pelanggan,” katanya.
Pada majlis tersebut, Chee Kadir turut menyerahkan apron dan sarung tangan kepada 33 peniaga di Bazar Ramadan Kabong kali ini.
Turut hadir Pegawai Daerah Kabong Tahir Sharee, Pegawai Perubatan Daerah Saratok Mualim Shah Abd Rani, Datin Meryani Yassin, Pengerusi Persatuan Pusat Penjaja Kabong Melati Buang serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Kabong.
Oleh Adi Safarman