
BARCELONA: Pengendali Barcelona, Hansi Flick tetap merendahkan diri selepas anak buahnya menawaskan Benfica 3-1 pada aksi timbal balik Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.
Barcelona mara ke suku akhir dengan agregat 4-1 selepas menang 1-0 pada perlawanan pertama di Lisbon minggu lalu.
Barca mengekalkan prestasi cemerlang mereka dengan kemenangan selesa ke atas Benfica untuk melebarkan deretan tanpa kalah kepada 17 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini.
Ketika Barca turut mendahului La Liga dan mara ke separuh akhir Piala Raja Sepanyol, Flick enggan menambah tekanan ke atas pasukannya dan berkata masih terlalu awal untuk memikirkan soal piala.
“Paling penting sekali, kami perlu fokus untuk aksi suku akhir dan mempersiapkan diri berdepan lawan seterusnya.
“Liga Juara-Juara adalah trofi paling sukar dan sudah tentu kami berharap akan terus mara serta memenangi kesemuanya, tetapi ia masih terlalu awal,” kata Flick.
Raphinha meledak dua gol dan satu daripada Lamine Yamal di babak pertama untuk kemenangan 4-1 secara agregat ke atas Benfica.
Barca akan bertemu sama ada Lille atau Borussia Dortmund di peringkat suku akhir. Kedua-dua pasukan itu terikat 1-1 pada perlawanan pertama.
Dalam saingan La Liga, hanya satu mata memisahkan tiga kelab gergasi Sepanyol dalam persaingan kejuaraan, dengan Barcelona mendahului pada 57 mata.
Real Madrid berada di tangga kedua, ketinggalan hanya menerusi perbezaan jaringan manakala Atletico Madrid di tangga ketiga pada 56 mata. Barca bermain kurang satu perlawanan berbanding dua kelab Madrid itu.
Dalam saingan Piala Raja Sepanyol, Barca akan bertandang ke Madrid berdepan Atletico untuk aksi timbal balik separuh akhir selepas terikat 4-4 pada perlawanan pertama.-AFP