BINTULU: Mitsubishi Corporation dan Diamond Gas Holdings Sdn. Bhd. menghulurkan bantuan berjumlah RM300,000 bagi membantu mangsa banjir di Bintulu, dengan tumpuan khusus kepada institusi pendidikan yang terjejas.
Bantuan tersebut merangkumi meja dan kerusi sekolah, bot penyelamat kecemasan, peralatan pejabat, serta keperluan asas lain untuk memastikan proses pemulihan dapat berjalan dengan lancar.
Selain itu, sumbangan kewangan turut diberikan bagi menyokong usaha pemulihan dan pembinaan semula kawasan yang terjejas.
Menurut Pengurus Besar Cawangan Kuala Lumpur, Mitsubishi Corporation, Kosuke Makino, syarikat itu komited dalam memainkan peranan aktif dalam membantu komuniti yang terkesan.
“Kami berdiri teguh bersama penduduk Bintulu dalam menghadapi cabaran ini.
“Hati kami bersama semua yang terkesan akibat banjir, dan kami komited untuk menyediakan sokongan yang diperlukan bagi membantu mereka membina semula kehidupan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Diamond Gas Holdings Sdn. Bhd., Tetsutaroh Moriyama berharap agar sumbangan tersebut dapat meringankan beban mangsa yang terjejas.
“Kami berharap sumbangan kami dapat membantu usaha pemulihan dan membawa sedikit kelegaan kepada komuniti yang terjejas,” ujarnya.
Institusi yang menerima sumbangan termasuk SK Sungai Selad, SK Asyakirin, SK Kuala Muput, Jawatankuasa Bencana Bintulu, Jabatan Pendidikan Tatau/Sebauh dan Jabatan Pendidikan Bintulu.
Selain bantuan kewangan dan peralatan, Mitsubishi Corporation dan Diamond Gas Holdings Sdn. Bhd. turut menyumbang kepada kerja-kerja mengecat dan membaik pulih bangunan sekolah serta pejabat sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan pascabanjir.
Mitsubishi Corporation, melalui Diamond Gas Holdings, telah menjadi rakan strategik dalam pembangunan tenaga di Bintulu sejak menandatangani perjanjian usaha sama dengan PETRONAS pada 1978.
Sejak 1983, syarikat itu memainkan peranan penting dalam membekalkan tenaga karbon rendah kepada pelbagai sektor di Malaysia dan Jepun.
Sumbangan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Mitsubishi Corporation dan Diamond Gas Holdings Sdn. Bhd. dalam menyokong kesejahteraan masyarakat serta pembangunan jangka panjang di Malaysia.
Oleh Carolyne Utih