

SIMANGGANG: Akibat hujan berterusan semalaman, dua kawasan di Kampung Baru Dayak, Jalan Kejatau dan Kampung Sembau telah dinaiki air.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Leftenan Kamal Bujang berkata, permantauan kawasan dinaiki air di Kampung Baru Dayak akibat hujan yang berterusan sejak petang semalam, ditambah lagi air sungai yang mula melimpah mengakibatkan dua rumah penduduk dinaiki air.
“Penduduk yang berada di lokasi kejadian dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan paras sungai atau parit. Lokasi pemantauan dalam keadaan terkawal dan tiada sebarang bencana dan kecemasan berlaku,” katanya.
Hasil pemantauan di Kampung Sembau mendapati punca banjir berlaku disebabkan sistem perparitan yang telah tersumbat.
“Anggota APM mengingatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati serta peka terhadap keadaan cuaca yang tidak menentu masa kini,” ujarnya.
OLEH ADI SAFARMAN