
LAWAS: Projek pembinaan bangunan Anjung Usahawan Bandar Lawas bernilai RM3.8 juta terletak di zon strategik mampu memacu ekonomi penduduk di kawasan berkenaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu projek itu dilaksanakan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) yang akan menempatkan pelbagai kemudahan untuk berniaga.

“Projek Anjung Usahawan Bandar Lawas siap dibina pada Mei 2024, menempatkan gerai jualan dan dijangka beroperasi selewatnya 1 Jun tahun ini.
“Kita melihat kedudukan Anjung Usahawan Bandar Lawas yang strategik di pusat pembangunan bandar Lawas itu sendiri dan berhampiran kawasan Lebuh Raya Pesisir Utara dan memerlukan pembinaan semula jalan masuk di kawasan tersebut,”katanya kepada media ketika melawat Anjung Usahawan Bandar Lawas hari ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri MINTRED berkata Anjung Usahawan Bandar Lawas juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas diperlukan oleh peniaga dan orang ramai.

Turut hadir, Pengarah NRDA Datu Ubaidillah Latip, Pengerusi Perkim Lawas Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Sri Naroden Majais, Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Dzulkornain Masron, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Setiausaha Eksekutif PBB Sarawak Datuk Awang Bujang Awang Antek dan Ketua Pegawai Eksekutif STATOB Samat Junai.
Oleh Adeng Edrus