
SARIKEI: Seorang lelaki warga emas berumur 73 tahun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sarikei selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dipandunya terlibat dengan kemalangan jalan raya di Jalan Selalang, petang semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, Superitendan Aswandy Anis berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Zaini Ahmad.
“Pada 9 Mac 2025, jam lebih kurang 6.00 petang, telah berlaku satu kemalangan jalan raya di Jalan Selalang.
“Kemalangan berlaku apabila kereta tersebut dari Sarikei di jalan lurus menuju ke rumah di Kampung Baru Selalang, sampai di tempat kejadian, tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kanan jalan sebelum masuk ke dalam parit.
“Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian dada dan muka disahkan meninggal dunia di Hospital Sarikei oleh pegawai perubatan semasa menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan media, sebentar tadi.
Katanya, kereta mangsa juga mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan dan sisi kanan kenderaan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes dibuka di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.
“Pihak polis menggesa agar mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Ahmad Mustaqim Idris di talian 010-4427240 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Tambahnya, pengguna jalan raya juga dinasihatkan agar berhati-hati semasa memandu di jalan raya bagi memastikan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain terjaga.
Oleh Earl Anek