
SIBU: Sejumlah RM14,600 hadiah wang tunai menanti peserta Pertandingan Kumang Gawai Dayak Sibu 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 24 Mei depan di Tingkat 6, Hotel Kingwood di sini.
Pengerusi Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Sibu, Angelyn Uchi Maseng berkata, pertandingan itu terbuka kepada gadis-gadis Dayak berusia antara 18 hingga 30 tahun yang masih belum berkahwin serta mempunyai ketinggian sekurang-kurangnya lima kaki dua inci.
“Pertandingan ini adalah acara utama pada Majlis Makan Malam Pra Gawai Dayak Sibu 2025 anjuran Jawatankuasa Gawai Dayak Sibu yang diketuai oleh saya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjur pertandingan di sini, baru-baru ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Pertandingan Kumang Gawai Dayak Sibu 2025, Senorita Salleh.
Menurut Angelyn, juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 berserta mahkota, selempang, piala, hamper dan sijil penyertaan, manakala pemenang tempat kedua atau ‘Lulong’ akan menerima RM3,000 berserta selempang, piala, hamper dan sijil penyertaan.
“Sementara itu, ‘Selinggar Matahari’ (tempat ketiga) akan menerima RM2,000 berserta selempang, piala, hamper dan sijil penyertaan.
“Pemenang di tempat keempat hingga ke-10 masing-masing akan menerima RM800 dan sijil penyertaan sebagai hadiah sagu hati,” katanya.
Beliau berkata, peserta diwajibkan memakai ‘Ngepan’ Iban (terbuka) dengan kriteria pemarkahan meliputi 50 peratus kecantikan, 30 peratus pemakaian ‘Ngepan’ Iban dan 20 peratus susuk badan serta keyakinan diri.
Yuran penyertaan sebanyak RM50 dikenakan dan tidak akan dikembalikan sekiranya peserta menarik diri selepas mengesahkan penyertaan.
“Jika jumlah peserta melebihi 10 orang, satu pusingan saringan akan diadakan pada 17 Mei.
“Borang penyertaan lengkap bersama salinan MyKad dan sekeping gambar bersaiz pasport hendaklah dihantar kepada pihak penganjur selewat-lewatnya 16 Mei jam 5.00 petang,” tambahnya.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Senorita Salleh di talian 013-8061265 atau Claudia Dieo (014-6526083).
Oleh Tarani Lanting