
KUCHING: Dalam semangat Ramadan, Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) dan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) menganjurkan majlis Berbuka Puasa Khas bagi meraikan anak-anak yatim dari Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Negeri Sarawak (Peryatim).
Majlis yang berlangsung di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC) itu malam tadi telah diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.
Dalam usaha menyantuni golongan kurang bernasib baik, sumbangan berjumlah RM25,000 telah diserahkan kepada Peryatim Sarawak, mencerminkan komitmen berterusan penganjur dalam membantu mereka yang memerlukan sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.

Anak-anak yatim yang hadir turut diraikan dengan jamuan iftar dan moreh, melambangkan kehangatan, kemurahan hati serta perpaduan dalam masyarakat. Lebih bermakna lagi, penghuni Peryatim menerima sumbangan ‘Duit Raya’, membawa keceriaan dan menggambarkan semangat memberi yang menjadi amalan sepanjang Ramadan.
Majlis ini turut menjadi platform memperkukuh hubungan antara pemegang taruh, kepimpinan korporat, kakitangan serta masyarakat setempat dengan kehadiran lebih 400 tetamu.
Acara tersebut kemudian diakhiri dengan solat berjemaah termasuk solat Maghrib, Isyak dan tarawih, sekali gus menambah keberkatan pada program itu.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengerusi SDEC Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Dato Ir Ts. Sudarnoto Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Centexs Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif DBOS Datu Laura Lee Ngien Hion.
Oleh AMANDA L.