KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya semalam mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini.
Turut berangkat ke istiadat berkenaan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir menyaksikan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia yang berlangsung di Balai Singgahsana Kecil di sini.
Shabudin melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan, disaksikan oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.
Turut hadir pada istiadat itu tiga Menteri Kanan iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof selain Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan (Parlimen dan Undang-undang) dan Datuk Seri Mustapa Mohamed (Ekonomi).
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan Shabudin menggantikan Datuk Eddin Syazlee Shith yang mengambil alih portfolio Timbalan Menteri Kerja Raya susulan peletakan jawatan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.
“Selaras dengan Fasal (1) Perkara 43A Perlembagaan Persekutuan, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Shabudin sebagai Timbalan Menteri Persekutuan,” demikian menurut kenyataan itu.
Shabudin,54, sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi FELCRA Berhad pada 14 Mei lepas dan pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Presiden, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP). — Bernama