
PADAWAN: Satu lawatan tapak telah diadakan bagi menilai kemajuan projek infrastruktur di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong.
Lawatan ini diketuai oleh Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan), Keron Mapus, bersama pegawai-pegawai jurutera dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kuching serta wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan terlibat.
Projek RTP 2024 di Kampung Sumur Bunuk dengan peruntukan RM200,000 sedang dilaksanakan untuk menaik taraf jalan pertanian di kawasan Briyang.
Selain itu, projek pembinaan jambatan di kawasan Dekot, Sumur, turut menerima jumlah peruntukan yang sama bagi memastikan akses yang lebih baik untuk penduduk setempat.
Sementara itu, di Kampung Annah Abang, kerja menaik taraf dewan serbaguna Kampung Abang di bawah RTP 2018 telah berjaya disiapkan dengan peruntukan sebanyak RM200,000.
Salah satu projek utama yang diberi perhatian dalam lawatan ini adalah pembinaan jambatan menuju Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan Ampat, yang bernilai RM380,000.
Sebahagian baki peruntukan sebanyak RM180,000 daripada projek ini turut digunakan untuk menaik taraf jalan kampung di Kampung Pangkalan Ampat serta membina tempat letak kenderaan berturap berhampiran jambatan gantung.
Menurut Keron, lawatan ini bertujuan memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan serta memberi manfaat secara langsung kepada penduduk.
Keron menegaskan bahawa kerajaan komited untuk terus meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar dengan menambah baik infrastruktur asas seperti jalan raya, jambatan, dan kemudahan awam.
Melalui inisiatif pembangunan RTP, kerajaan negeri terus memperkukuh usaha membangunkan kawasan luar bandar bagi memenuhi keperluan asas rakyat, sekali gus meningkatkan kesejahteraan masyarakat dalam pelbagai aspek.