

KUCHING: Jualan tiket awal (Early Bird) bagi Festival Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2025 kini dibuka bermula 8 Mac hingga 31 Mac 2025.
Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) menerusi satu kenyataan berkata RWMF tahun ini bertemakan ‘Connections: One Earth, One Love’ dan akan menampilkan barisan artis tersohor termasuk The Earth, Wind & Fire Experience oleh Al McKay, Otyken dari Siberia, Rusia serta kumpulan tempatan At Adau.
“Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan bintang-bintang antarabangsa ini beraksi di Kampung Budaya Sarawak dari 20 hingga 22 Jun 2025.
”Dapatkan tiket anda sekarang pada harga terendah tahun ini dan tiket awal ditawarkan pada harga istimewa bermula 8 Mac hingga 31 Mac 2025,” katanya.
Menurut STB, pas sehari bagi dewasa boleh didapati pada harga RM235 memberikan penjimatan sebanyak RM48 berbanding harga pra jualan RM283 dan RM98 lebih murah daripada harga jualan pintu RM333.
Sementara itu, katanya bagi yang ingin menikmati festival selama tiga hari penuh, pas tiga hari dewasa ditawarkan pada harga RM635, menjimatkan RM130 daripada harga pra jualan RM765 dan RM200 lebih rendah berbanding harga jualan pintu RM835.
Pas sehari untuk kanak-kanak yang berusia 3 hingga 12 tahun dijual pada harga RM80, manakala kanak-kanak bawah tiga tahun boleh masuk secara percuma.
Dalam pada itu, katanya pengunjung RWMF 2025 kini boleh menikmati perjalanan yang lebih mudah dan menjimatkan dengan kerjasama syarikat penerbangan rasmi Malaysia Airlines (MH) dan Firefly (FY).
”Diskaun sehingga 20 peratus akan diberikan bagi penerbangan ke Kuching sepanjang tempoh promosi dari 12 Mac hingga 22 Jun 2025.
“Promosi Malaysia Airlines merangkumi laluan ke Kuching dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Australia, New Zealand dan United Kingdom dengan kod promosi MHRWMF25 manakala Firefly menawarkan diskaun bagi laluan SZB-KCH, BKI-KCH dan KCH-MYY dengan kod FYRWMF25,” tambahnya.
Menurut kenyataan itu lagi, RWMF 2024 mencatat kehadiran seramai 26,000 pengunjung, sekali gus mencipta rekod baharu.