Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Loji pembotolan sementara ditubuhkan di Bintulu
  • SEMASA

Loji pembotolan sementara ditubuhkan di Bintulu

Utusan Sarawak 2 months ago

KUCHING: PETROSNiaga Sdn Bhd, cabang peruncitan LPG bagi Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), sedang giat menubuhkan sebuah loji pembotolan sementara di Bintulu bagi memastikan bekalan gas petroleum cecair (LPG) di Wilayah Utara Sarawak kekal stabil.

PETROSNiaga dalam satu kenyataan, berkata loji sementara tersebut dibangunkan dengan kerjasama PETROSNiaga dan PUSAKA Integrated Resources Sdn Bhd (PIRSB) Bintulu.

”Loji sementara ini dijangka mampu beroperasi sepenuhnya pada awal April, menghasilkan sehingga 50 peratus daripada kapasiti loji asal yang terjejas.

”Sementara itu, proses pemulihan loji utama sedang berjalan dan dijangka mengambil masa sehingga enam bulan.

”PETROSNiaga turut mengambil beberapa langkah strategik bagi mengurangkan gangguan bekalan LPG di Wilayah Utara Sarawak,” katanya.

Menurutnya, langkah itu diambil susulan banjir yang melanda banyak kawasan di Sarawak baru-baru ini yang mengakibatkan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Loji Pembotolan Gas Petroleum (LPG) PUSAKA Integrated Resources Sdn Bhd (PIRSB) di Bintulu pada 29 Januari lalu.

Kejadian itu menyebabkan operasi loji dihentikan sementara bagi menjamin keselamatan komuniti setempat.

Selain itu, PETROSNiaga, Terminal Minyak Bebas (IOT) Senari di Kuching telah meningkatkan pengeluaran daripada purata 13,000 silinder sehari kepada kira-kira 26,000 silinder, mencukupi untuk memenuhi permintaan harian negeri sebanyak 25,000 silinder.

”Langkah ini juga turut disokong oleh pelan kontingensi termasuk penubuhan depot untuk menambah kapasiti penyimpanan di Wilayah Utara.

“Bagi meningkatkan bekalan ke kawasan permintaan tinggi seperti Miri, Bintulu, dan Sibu, jumlah pengangkut dan silinder LPG telah ditambah dengan ketara, memastikan penghantaran yang lebih pantas dan konsisten.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan untuk mengekalkan bekalan yang stabil bagi kegunaan isi rumah dan komersial,” jelasnya.

Selain itu, PETROSNiaga juga sedang mendapatkan bekalan tambahan LPG dari Sepanggar Bay, Sabah bagi memperkukuh bekalan ke Wilayah Utara Sarawak, dan keadaan dijangka kembali normal dalam tempoh seminggu.

Katanya, harga LPG isi rumah bersubsidi kekal tidak berubah pada kadar RM26.60 setiap silinder apabila diambil daripada pengedar dan peniaga yang sah.

“Pengguna digalakkan untuk melaporkan sebarang kenaikan harga yang tidak sah atau caj tambahan kepada Perkhidmatan Pelanggan PETROSNiaga di 1300-88-2122 atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di 1-800-886-800 atau melalui WhatsApp di 019-8488000.

“Kami menasihatkan pelanggan untuk hanya membeli LPG mengikut keperluan biasa mereka dan mengelakkan pembelian panik yang tidak perlu.

“Kami juga menyeru orang ramai agar kekal tenang dan yakin bahawa isi rumah serta perniagaan di seluruh Sarawak akan terus mendapat sumber tenaga yang boleh dipercayai dan mampu milik,” katanya.

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Program Sumbangsih diperluaskan untuk sambutan Hari Gawai, Tahun Baharu Cina  
Next: Eksklusif: Isu tanah – Ketua kaum, tuai rumah tiada lagi berfungsi?

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.