
ROBAN: Sarawak Rural Broadbrand Network (MySRBN) merupakan inisiatif kerajaan Sarawak untuk menyediakan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak bagi mempercepatkan transformasi digital di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menjelaskan, selain bermatlamat untuk mendigitalkan ekonomi Sarawak dan menghubungkan masyarakat pedalaman dengan dunia luar, MySRBN juga adalah salah satu usaha untuk mengatasi masalah yang berpanjangan iaitu liputan jaringan yang lemah di kawasan pedalaman di Sarawak.
“Banyak manfaat MySrBN kepada seluruh rakyat Sarawak, antaranya adalah akses internet tanpa had dengan harga yang berpatutan untuk setiap isi rumah di pedalaman Sarawak. Peranti dan pemasangan disubsidikan sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak bernilai RM1,150.
“Ia tanpa perjanjian ikatan kontrak, pakej prabayar MySrBN menawarkan pelan internet tanpa kontrak memberi kebebasan kepada pengguna menguruskan langganan,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi yang mewakili ADUN Kalaka hadir ke sesi taklimat dan pendaftaran perkhidmatan MySrBN kawasan pentadbiran Pejabat Daerah Kecil Roban di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Kecil Roban, pagi tadi.
Bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka, pengguna lama yang sudah dipasang dengan alat peranti tersebut bolehlah mengemas kini maklumat melalui aplikasi MySrBN dan pemohon baharu juga turut boleh memohon melalui aplikasi tersebut.
Beliau turut mengingatkan masyarakat agar menjaga infrastruktur MySRBN demi memastikan kelangsungan perkhidmatan.
“Tindakan vandalisme terhadap peralatan internet bukan sahaja merugikan, tetapi menjejaskan kehidupan harian. Kita perlu bertanggungjawab untuk memelihara kemudahan yang telah disediakan untuk kesejahteraan bersama,” jelasnya.
Turut hadir, Pegawai Tadbir Penguasa Pejabat Daerah Kecil Roban, Steve Miller Nuas, Tuai Rumah Spencer Gon yang mewakili ADUN Krian serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kawasan Roban.
OLEH ADI SAFARMAN