

KUCHING: Sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal musnah dalam kebakaran di Jalan Foo Chow, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan pada 11.58 pagi sebelum mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya ke lokasi kejadian, dengan bantuan daripada BBP Padungan.
Menurut Komander Operasi, PBK I Suhardi Razali, setibanya pasukan bomba pada 12.09 tengah hari, rumah berukuran 20×40 kaki per segi itu terbakar 100 peratus. Pasukan Keluaran Operasi (PKO) melaksanakan pemadaman menggunakan teknik ‘defensive’ dengan membentang satu aliran sepanjang 300 kaki serta dua pancutan air.
Selain itu, tindakan ‘fire break’ berjaya menghalang kebakaran daripada merebak ke lima rumah berhampiran.
Api berjaya dikawal sepenuhnya pada 12.38 tengah hari dan operasi ditamatkan pada 12.52 tengah hari selepas tindakan “overhaul” dilakukan bagi memastikan tiada lagi sisa kebakaran.
Ketika kejadian, penghuni rumah, seorang lelaki berusia 48 tahun, tidak berada di kediaman itu.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
OLEH AMANDA L.