

SIBU: Program tahunan ‘Ketuk Sahur’ di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka diteruskan lagi tahun ini dengan pendekatan yang lebih inklusif apabila turut melibatkan kediaman penduduk bukan beragama Islam.
Hadir dalam program ini ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee bersama 20 peserta lain.
Menurut beliau, penganjuran program ini di kediaman masyarakat bukan Islam mencerminkan keharmonian kaum dan agama yang kukuh dalam kalangan penduduk Sibu khasnya dan Sarawak amnya.
“Pagi ini menandakan permulaan program ‘Ketuk Sahur’ di kawasan Nangka.
“Program ini diadakan untuk mengedarkan pek makanan kepada golongan yang memerlukan untuk sahur dan telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama JKKK Nangka,” katanya ditemui semasa program itu semalam.
Beliau dan rombongan bersahur di Rumah Catherine Ali Puteh, seorang pemimpin masyarakat beragama Kristian di Kampung Nangka.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Catherine atas kesudian menyambut kedatangan mereka dan menyediakan makanan untuk sahur.
Sebanyak 250 rumah di 10 lokasi yang berada di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah terlibat dalam program ini, menjadikannya antara program tahunan yang berjaya memperkukuhkan perpaduan dalam komuniti.
Program ini dianjurkan oleh Pusat Khidmat DUN Nangka dan diadakan di Kampung Nangka dari 4.00 pagi hingga 5.30 pagi.-UKAS