KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyaksikan majlis penyerahan sumbangan daripada Persatuan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada balu Allahyarham Mohamad Hussein Ali, Selina Hamdi di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, Kuching semalam.
Allahyarham Mohamad Hussien Ali, 56, yang berkhidmat sebagai Penolong Unit Pengurusan Korporat (Perhubungan Awam) Saberkas Negeri Sarawak meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak pada Mei lepas akibat masalah buah pinggang.
SABERKAS yang diwakili Setiausaha Agungnya, Safiee Ahmad menyampaikan sumbangan RM27,222.40 manakala PERKESO menyampaikan sumbangan RM2, 000.00 (Faedah Pengurusan Mayat) kepada balu Allahyarham Mohamad Hussein Ali.
Selain Faedah Pengurusan Mayat, Selina Hamdi turut menerima Faedah Pencen Penakat berupa bayaran faedah pencen bulanan seumur hidup dan bayaran faedah kepada anak sehingga umur 21 tahun.
Hadir sama Pengarah PERKESO Negeri Sarawak, Phillip Sangkan dan Pegawai Skuad PERKESO Prihatin, Pejabat PERKESO Kuching, Abang Mohammed Razali Abang Salleh.