PETRA JAYA: Seramai 100 penjawat awam yang terpilih menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai RM100 yang disalurkan melalui akaun S Pay Global serta baucar tunai Emart bernilai RM100 setiap seorang.
Sumbangan ini merupakan komitmen kebajikan Exco Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Wanita Sarawak menerusi Program Sumbangan Ikhlas MAKSAK Cares.
Menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), sumbangan baucar ini merupakan hasil kolaborasi MAKSAK Wanita Sarawak dengan Emart Holdings Sdn Bhd menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut.
Jumlah keseluruhan sumbangan program berkenaan adalah sebanyak RM10,000.
Inisiatif ini memberi penghargaan kepada penjawat awam Sarawak yang bertugas di jabatan kerajaan sekitar Bahagian Kuching.
Program ini diharapkan dapat membantu meringankan beban penerima serta memberi keberkatan kepada semua pihak yang terlibat dalam bulan mulia ini.
Penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh isteri kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian iaitu Datin Sri Enn Ong Siok Ean.
Turut menyaksikan penyerahan sumbangan ini ialah Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, Datin Amar Baduyah Bujang bersama ahli-ahli MAKSAK Wanita Sarawak yang lain.
Majlis Berbuka Puasa, Solat Maghrib, Isyak, dan Sunat Terawih Berjemaah bersama penjawat awam Sarawak malam tadi berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Hadir untuk menyerikan majlis ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari diiringi Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, dan isteri Datin Sri Enn Ong Siok Ean, Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, dan isteri Datin Sri Christina Kong, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni serta Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee serta ketua-ketua jabatan.