
BANGKOK: Thailand akan menghantar pulang 1,500 individu yang diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar setiap minggu.
Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura berkata, ribuan mangsa masih terkandas di kem sepanjang sempadan Thailand-Myanmar selepas diselamatkan.
Menurutnya, Thailand telah mencapai persetujuan dengan Myanmar dan China bagi memudahkan proses penghantaran pulang itu. Persetujuan tersebut dicapai susulan pertemuan antara Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa; Pembantu Menteri Keselamatan Awam China, Liu Zhongyi; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Myanmar, Aung Kyaw Kyaw, baru-baru ini.
“Thailand merancang untuk menghantar pulang 1,500 individu setiap minggu, atau 300 orang setiap hari bekerja, dengan penghantaran pulang rakyat China dijadualkan setiap Rabu, Khamis dan Jumaat,” katanya kepada pemberita semalam.
Beliau menjelaskan bahawa penghantaran pulang pada Isnin dan Selasa akan memberi tumpuan kepada warganegara lain, termasuk dari negara Afrika, dan kementerian sedang berkoordinasi dengan kedutaan asing bagi memastikan proses itu dapat dilakukan dengan segera.
Menurut Nikorndej, China dan Indonesia telah pun membawa pulang sebahagian rakyat mereka dari Myawaddy dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, berkata ribuan individu dari Afrika yang tidak mempunyai wakil diplomatik di Thailand masih terkandas di sempadan.
“Bagi negara yang tidak mempunyai kedutaan di sini, Kementerian Luar Thailand telah menghubungi kedutaan yang diakreditasi atau berkomunikasi secara langsung dengan ibu negara masing-masing.
“Keputusan untuk menghantar pegawai dari kedutaan mereka di Thailand atau dari ibu negara bergantung kepada kerajaan masing-masing,” katanya.
Beliau turut menggesa negara yang akan membawa pulang rakyat mereka dari Myawaddy supaya menghantar pegawai ke sempadan Thailand-Myanmar bagi memudahkan proses saringan kesihatan dan pemeriksaan imigresen.
Ketika ditanya mengenai kewarganegaraan individu yang akan dihantar pulang dari Myawaddy, beliau hanya akan menerima senarai tersebut selepas kumpulan berkenaan tiba di Thailand.
Bulan lalu, seramai 260 warga asing, termasuk 15 rakyat Malaysia, diselamatkan daripada sindiket pusat panggilan di Myawaddy, Myanmar. Mereka dibebaskan oleh pihak berkuasa Myanmar sebelum dihantar ke Thailand untuk proses deportasi.
– BERNAMA