

KUCHING: Inisiatif Rindok Raya 2025 yang memberi peluang kepada usahawan kecil menjana pendapatan sepanjang Ramadan bukan sahaja membantu peniaga tempatan mempromosikan produk mereka, malah merancakkan ekonomi setempat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki kewujudan sekitar 80 gerai jualan di pekarangan Pusat Acara Hikmah Exchange membuktikan minat tinggi dalam kalangan peniaga dan masyarakat terhadap bazar Ramadan.

“Ini adalah satu inisiatif yang baik kerana ia memberi ruang kepada usahawan kecil meningkatkan pendapatan mereka, selain menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengunjung,” katanya semasa ditemui media pada majlis pelancaran Rindok Raya 2025, hari ini.
Ibrahim turut menekankan kepentingan memperluaskan program seumpama ke lebih banyak lokasi, termasuk kawasan di bawah seliaan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Petra Jaya.
Tambah beliau, selain memudahkan masyarakat mendapatkan pelbagai barangan keperluan, bazar Ramadan juga mampu menarik lebih ramai pelancong ke kawasan terbabit.

Turut hadir pada majlis ialah Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga ADUN Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman. – UKAS