
BUENOS AIRES: Lionel Messi terus menjadi sandaran Argentina apabila namanya tersenarai dalam skuad sementara bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Uruguay dan Brazil, lapor Xinhua.
Senarai awal yang diumumkan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) di laman rasmi mereka turut menyaksikan kehadiran dua muka baharu, Claudio Echeverri (Manchester City) dan Santiago Castro (Bologna).
Bagaimanapun, Marcos Acuna tidak disenaraikan kali ini selepas mempamerkan aksi hambar bersama River Plate dalam saingan liga utama Argentina.
Skuad kendalian Lionel Scaloni bakal berdepan Uruguay di Montevideo pada 21 Mac sebelum menerima kunjungan Brazil di Buenos Aires empat hari kemudian.
Sebagai juara bertahan Piala Dunia dan Copa America, Argentina kini mengungguli carta kelayakan zon Amerika Selatan dengan 25 mata daripada 12 perlawanan, lima mata di hadapan Uruguay yang berada di tangga kedua. – Bernama