LONDON: China semalam memberi amaran kepada United Kingdom (UK) bahawa pihaknya akan bertindak balas terhadap keputusan London menawarkan kewarganegaraan kepada penduduk Hong Kong (HK).
UK mengumumkan tawaran itu sebagai maklum balas langsung terhadap undang-undang keselamatan baharu yang diperkenalkan China.
Tawaran UK itu merangkumi hampir tiga juta orang penduduk HK yang mempunyai pasport Luar Negara British (BNO).
“Sekiranya pihak UK membuat perubahan sebelah pihak terhadap praktik yang berkaitan, ia akan melanggar kedudukan dan janji sendiri serta undang-undang antarabangsa.
“Kami dengan tegas menentang tawaran ini dan berhak untuk mengambil tindakan sewajarnya,” kata kedutaan China di London dalam satu kenyataan.
Kenyataan China itu disimpulkan dengan mendesak UK menilai kembali keputusannya dan tidak campur tangan dalam urusan negara tersebut.
Beijing berdepan gelombang kritikan dari negara Barat atas keputusannya untuk melaksanakan undang-undang baharu yang melarang tindakan penindasan, pemisahan, keganasan dan membuat pakatan dengan kuasa asing. – AFP