
KANOWIT: Penduduk Rumah Longkee Sede di Nanga Kabah, di sini digesa supaya menyediakan cadangan untuk memohon peruntukan tambahan bagi projek fasa kedua meratakan tanah tapak rumah panjang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, cadangan permohonan yang telah lengkap hendaklah diserahkan kepada pejabat pusat khidmat nya (Pusat Khidmat DUN Ngemah) atau Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kanowit (Dato Sri Aaron Ago Dagang).
“Biarlah kita jadikan ini projek fasa dua meratakan tanah tapak rumah panjang ini. Lain-lain cadangan juga boleh dikemukakan, contohnya cadangan kepada ahli parlimen untuk fasa dua.
“Manakala projek seperti membina jalan masuk atau lain-lain boleh dikemukakan kepada pusat khidmat ADUN untuk mempercepatkan proses pembinaan rumah panjang itu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pecah tanah tapak rumah panjang baharu (Rumah Longkee Sedee) di Nanga Kabah, sebentar tadi.
Anyi memberitahu, permohonan dana kerajaan memerlukan kesabaran kerana ia mengikut proses tertentu.
“Bagi permohonan program pinjaman rumah panjang di bawah HDC (bagi membina rumah panjang), tapak rumah panjang perlu disediakan terlebih dahulu sebelum bantuan tersebut diluluskan.
“Ini kerana telah terdapat banyak kes bahan binaan dihantar sebelum tapak siap menyebabkan bahan tersebut rosak kerana tidak boleh digunakan,” jelasnya.
Terdahulu, rumah panjang tersebut (Rumah Longkee Sedee) telah menerima peruntukan dana Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM100,000 daripada Menteri Perpaduan Negara yang juga Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Seri Aaron Ago Dagang.
Dana tersebut digunakan untuk melaksanakan projek meratakan tapak pembinaan rumah panjang baharu.
Terdahulu dalam ucapan aluannya, Tuai Rumah Longkee Sedee berkata, penduduk rumah panjang tersebut adalah berasal dari Rumah Panjang Kurung.
“Bagaimanapun, disebabkan jumlah penduduk yang semakin ramai menyebabkan rumah panjang sedia ada tidak lagi dapat menampung mereka.
“Rumah panjang itu sudah lama, dan anak-anak sudah besar, mereka mahu ada ‘pintu’ sendiri, jadi kami memutuskan untuk membuka tapak baharu di tanah mentua saya,” katanya.
Pada majlis tersebut, Anyi turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM8,000 kepada Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Longkee Sedee.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Menteri Perpaduan Negara, Dr Stephen William.
oleh Akun Giman