KRIAN: Sebuah kediaman yang didiami oleh lima sekeluarga musnah dalam kebakaran dalam kejadian di rumah bernombor 121 Jalan Ulu Krian di sini, hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok telah menerima panggilan berhubung kebakaran tersebut sekitar 5.17 petang, tadi.
Dalam pada itu, seramai enam anggota BBP Saratok yang diketuai oleh Pegawai Kanan Bomba 2, Abdul Rahman Sabi telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan itu.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) ditempat kejadian, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah struktur tidak kekal telah terbakar 100 peratus.
“Namun kebakaran tersebut tiada melibatkan sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa berlaku,” katanya.
PGO berkata, anggota bomba membuat pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dan satu aliran 100 kaki air dari pili bomba sehingga api berjaya di padamkan sepenuhnya.
“Punca kejadian dan jumlah kerugian yang ditanggung oleh mangsa masih lagi dalam siasatan,” katanya.
Oleh Adi Safarman