
SEPANG: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meneruskan inisiatif subsidi tambang siling RM499 bagi tiket penerbangan sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan sempena sambutan Aidilfitri ini.
Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata inisiatif itu bertujuan memastikan perjalanan udara kekal mampu milik dan dapat dinikmati oleh semua rakyat Malaysia terutama yang melakukan perjalanan antara Semenanjung dan Malaysia Timur.
“Inisiatif ini akan dipertingkatkan dengan subsidi bagi tiket penerbangan sehala untuk setiap penumpang bagi laluan domestik yang menghubungkan Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan untuk tiket berharga lebih RM499.
“Harga ini tidak termasuk cukai dan yuran, dan harga maksimum RM499 adalah pengurangan daripada ambang harga sebelum ini iaitu RM599. Kerajaan akan menanggung perbezaan antara harga tiket asal dan harga maksimum itu,” katanya pada majlis pelancaran Hari Raya Fixed Fare Flights by AirAsia di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Datuk Kapten Fareh Mazputra.
Loke berkata inisiatif tambang tetap oleh AirAsia untuk Hari Raya menunjukkan kerjasama antara kerajaan dan industri penerbangan yang mencerminkan misi bersama untuk berkhidmat kepada rakyat terutama pada musim perayaan.
“Kerajaan tetap teguh dengan misi untuk menjadikan perjalanan udara lebih mampu milik untuk semua rakyat Malaysia. Melalui kerjasama rapat dengan pemain utama industri seperti AirAsia ini, kita secara aktif meningkatkan hubungan, mengurangkan kos perjalanan, dan akhirnya menambah baik kesejahteraan rakyat,” katanya. – BERNAMA