
SIBU: Sekolah Tinggi Katolik kini menjadi sekolah pertama di Sibu yang memiliki gelanggang khas untuk sukan pickleball, sekali gus menjadikannya sekolah kedua di Sarawak dengan kemudahan serupa selepas Riam Hill International School, Miri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng, berkata pembinaan gelanggang ini bertujuan memperkasa pembangunan sukan pickleball dalam kalangan pelajar sekolah di daerah ini.
“Saya percaya kemudahan ini akan membantu dalam mempromosikan sukan pickleball, khususnya di peringkat sekolah.
“Pada penghujung tahun lalu, saya telah memohon kepada Sekolah Tinggi Katolik untuk mendapatkan kelulusan dalam menubuhkan kelab pickleball di sekolah serta memastikan penyertaan pelajar dalam sukan ini diberi mata kokurikulum.
“Syukur, permohonan tersebut telah diluluskan,” katanya semasa majlis penyerahan gelanggang berkenaan, semalam.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Pickleball Sibu berkata, sebanyak 10 sekolah telah dipilih sebagai perintis dalam penubuhan kelab pickleball di Sarawak, dengan harapan melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat yang mampu mewakili negeri dalam kejohanan seperti Sukan Sarawak (Suksar) dan Sukan Malaysia (Sukma) 2026.
Dalam usaha memperkukuh perkembangan sukan ini, Chieng turut mendedahkan bahawa pihaknya merancang untuk menganjurkan kejohanan pickleball pertama di Sibu pada September ini.
Bagaimanapun, katanya, tarikh rasmi masih menunggu kelulusan daripada Jabatan Pendidikan.
“Masa semakin suntuk kerana 2026 semakin hampir. Kejohanan ini penting bagi mengenal pasti pemain berbakat yang berpotensi mewakili Sibu dan Sarawak ke peringkat lebih tinggi, termasuk kejohanan antarabangsa,” tambahnya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus berusaha membantu lebih banyak sekolah dalam membangunkan sukan pickleball sebagai satu platform untuk pelajar menyerlahkan bakat mereka.
Turut hadir ialah timbalan presiden Pickleball Ling Shii Ngie, naib presiden Kiing Teck Ho dan Pengetua Sekolah Tinggi Katolik Sibu Brother Anthony Tay.
Oleh Tarani Lanting