BINTANGOR: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol, meneruskan tradisi menyampaikan sumbangan sempena Ramadan 2025 kepada beberapa masjid dan surau di Bintangor, petang semalam.
Majlis penyerahan peruntukan daripada Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berlangsung di Dewan Dayang Bai Bintangor, petang semalam.
Dalam majlis tersebut, setiap masjid menerima sumbangan sebanyak RM1,500, manakala surau menerima RM1,000, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan berjumlah RM9,000.
Senarai penerima sumbangan termasuk Masjid Muhajirin Taman Bintang Bintangor, Masjid Al-Falah Kampung Al-Falah Gemuan Bintangor, Masjid Darul Taqwa Bintangor, Masjid Darul Ibadah Kampung Tanjung Bundong Bintangor, serta Surau Abang Taib, Surau Darul Ikhsan Jalan Bidadari Bintangor, dan Surau Darul Taqwa Bintangor.
Abdullah Saidol menyatakan bahawa sumbangan tersebut bertujuan membantu membiayai aktiviti sepanjang Ramadan, selaras dengan inisiatif yang dijalankan setiap tahun.
Dana ini, katanya, bukan sahaja digunakan untuk program keagamaan di masjid dan surau, tetapi juga boleh dimanfaatkan bagi aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong serta mengeratkan hubungan antara penduduk.
Selain itu, Abdullah Saidol turut mencadangkan pelaksanaan Program Mini Agrofest di Bintangor yang melibatkan penyertaan belia tempatan bagi mempromosikan, dan menjual hasil tanaman serta hasil laut.
Beliau turut menggesa Ketua Kampung untuk menilai keadaan jalan utama kampung bagi melihat potensi menaik tarafnya sebagai kawasan parkir demi keselesaan penduduk menjelang sambutan Hari Raya.
Beliau juga mendengar pelbagai cadangan daripada pengerusi masjid dan surau bagi mempermudah pengurusan rumah ibadat sepanjang Ramadan, di samping menggalakkan penglibatan lebih ramai belia dalam aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.