
Sebuah jet pejuang Eurofighter Tentera Udara Itali mengiringi pesawat American Airlines
ROM: Sebuah pesawat American Airlines dari New York ke New Delhi dilencongkan ke Rom pada petang semalam, berikutan dakwaan wujudnya ancaman bom, kata jurucakap lapangan terbang di Itali.
Syarikat penerbangan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai ancaman kebimbangan keselamatan itu dalam penerbangan yang membawa 199 penumpang serta kru.
Pesawat itu turut diiringi oleh dua jet pejuang Itali sebelum mendarat.
Menurut American Airlines melalui satu kenyataan, pesawat itu mendarat dengan selamat di Rom (FCO) sebelum pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan serta memberi kebenaran untuk berlepas semula.
Seorang perunding IT yang berada dalam penerbangan itu, Mahesh Kumar, berkata juruterbang mengumumkan pesawat dilencongkan ke Rome atas faktor keselamatan kira-kira tiga jam sebelum mendarat.
Manesh, 55, dari Texas, berkata polis Itali mengiringi penumpang untuk pemeriksaan keselamatan sebaik sahaja mereka tiba di lapangan terbang.
“Semua orang berasa takut. Semua orang diam dan mematuhi arahan. Mereka meminta kami duduk dan tidak bergerak ketika jet pejuang berada berhampiran kami,” katanya.
Menurut laman penjejak penerbangan FlightAware, pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy, New York, pada Sabtu sekitar jam 8.11 malam waktu tempatan (01.11 GMT Ahad).
Rekod penerbangan menunjukkan pesawat itu membuat pusingan tajam ketika berada di ruang udara Laut Caspian.
Seorang pegawai American Airlines berkata pesawat itu mendarat di Rom berdasarkan keperluan protokol India.
“Ancaman itu didapati tidak berasas, tetapi mengikut protokol Lapangan Terbang Delhi (DEL), pemeriksaan perlu dilakukan sebelum mendarat di New Delhi.
“Pesawat akan kekal di FCO semalaman bagi membolehkan kru mendapat rehat yang diperlukan sebelum meneruskan penerbangan ke DEL secepat mungkin esok,” katanya.
Operasi di Lapangan Terbang Rom bagaimanapun tidak terjejas akibat kes terbabit.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) mengesahkan bahawa pesawat itu mendarat dengan selamat selepas kru melaporkan isu keselamatan.
Menurut laman sesawang American Airlines, ia salah satu syarikat penerbangan terbesar di AS, berpusat di Fort Worth, Texas, dan menawarkan perkhidmatan antarabangsa ke lebih 60 negara. – AFP