
MARUDI: Projek karbon kredit bukan sahaja membantu mengurangkan pelepasan karbon tetapi juga membuka peluang kepada industri dan syarikat untuk mengimbangi jejak karbon secara lebih bertanggunjawab.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata perubahan iklim adalah satu cabaran terbesar dunia hari ini dan melalui inisiatif ini maka ia dapat menggalakkan pemuliharaan alam sekitar dengan penanaman pokok, penggunaan tenaga boleh diperharui dan teknologi rendah karbon.
Ketika menyampaikan ucapan pada majlis Townhall Program Pemeliharaan dan Pemuliharaan Hutan Paya Gambut Baram oleh Saracarbon Sdn Bhd di Dewan Suarah Marudi hari ini.
Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu menegaskan ini program juga menyokong pembangunan ekonomi lestari dengan memberi insentif hijau kepada syarikat yang mengurangkan pelepasan karbon.
Katanya ia juga boleh menjana peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat tempatan dalam sektor tenaga hijau dan teknologi mampan.
Beliau yakin bahawa projek ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada alam sekitar tetapi juga membawa impak positif kepada masyarakat dan ekonomi negara.
Dalam pada itu Gerawat menegaskan bahawa projek ini adalah projek pertama Saracarbon Sdn Bhd yang telah diluluskan kerajaan Sarawak sebab projek ini adalah selaras dengan agenda kerajaan Sarawak untuk menerus dan mengembangkan ekonomi hijau.
“Oleh itu saya menggesa kepada semua pihak untuk terus menyokong dan menyertai inisiatif seperti ini demi masa depan yang lebih hijau dan mampan,” tambah beliau.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Marudi, Datuk Dr Penguang Mangggil, Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dato Dennis Ngau dan Residen Bahagian Miri Galong Luang.
Oleh Jiku Juguong