
SIBU: Berkhidmat kepada rakyat bukan sekadar soal sumbangan derma, tetapi lebih kepada kesanggupan untuk meluangkan masa dan mencurahkan semangat bersama rakyat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, semua rakyat Sarawak yang berpeluang untuk berkhidmat kepada negeri ini harus pulang dan membantu menjadikan Sarawak lebih kuat dan lebih baik.
Katanya, berbakti kepada rakyat mesti disertai dengan tujuan yang jelas dan hanya dengan mentaliti seperti ini sahaja dapat membina sebuah negara yang lebih kukuh dan lebih baik.
“Jika lebih ramai orang sanggup berkhidmat dengan tujuan yang jelas dan kekal bersatu demi kebaikan, maka Sarawak akan menjadi sebuah negeri yang berbeza.
“Sarawak pada 2025 bukanlah Sarawak yang sama seperti pada 2015. Dalam tempoh lima tahun akan datang, Sarawak akan berubah dengan lebih ketara dan saya boleh memberi jaminan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada pada majlis Jubli Perak Ulang Tahun ke-25 Kelab Lions Sibu Pahlawan, malam tadi.
Menurut Dr Sim, dahulu orang memandang rendah kepada Sarawak, tetapi kini Sarawak menjadi contoh ikutan kerana ramai yang menjadikan negeri ini sebagai inspirasi.
Mengenai Kelab Lions Sibu Pahlawan, Sim berkata, kelab ini telah melahirkan dua bekas gabenor daerah dan seorang timbalan gabenor daerah kedua yang kini berkhidmat, satu pencapaian luar biasa yang mencerminkan komitmen kelab dalam membangunkan pemimpin yang berwibawa dan berwawasan.
“Antara bekas presiden kelab ini adalah usahawan cemerlang, tokoh perniagaan berjaya, malah pemimpin politik yang sedang meningkat naik seperti ahli majlis, Kevin Lau.
“Ini jelas menunjukkan keupayaan kelab untuk membentuk bakat dan memupuk kepimpinan yang melangkaui komuniti Lions,” katanya.
Beliau berkata, apa yang menjadikan majlis ini lebih istimewa ialah kehadiran kesemua 25 presiden Kelab Lions Sibu Pahlawan, bersama dengan Gabenor Daerah yang berkhidmat dalam tempoh masing-masing.
“Perhimpunan luar biasa ini mencerminkan semangat kekitaan dan penghargaan yang mendalam dalam kelab anda. Sungguh mengagumkan melihat bagaimana anda menghormati dan menghargai mereka yang telah meletakkan asas kejayaan kelab ini.
“Sesungguhnya, menjadi seorang presiden bukan sekadar satu tanggungjawab, ia adalah perjalanan bermakna dalam berkhidmat bersama, mengatasi cabaran, dan berkembang sebagai satu pasukan,” kata beliau lagi.
Turut hadir, Pengarah Antarabangsa Kelab Lions Zhao Dong dan Dato Yeow Wah Chin, Gabenor Daerah Kelab Lions Antarabangsa 308-A2 Annie Ho Chui, Pemimpin Kawasan Lions Clubs International Foundation (LCIF) Datin Ellis Suriyati dan Presiden Kelab Lions Sibu Pahlawan Steady Tiau Kiu Ung.
Oleh Akun Giman