





PETRA JAYA: Sebuah rumah musnah, dua lagi terjejas dalam kebakaran di Taman Matang Jaya, di sini hari ini.
Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan pada jam 8.48 pagi dan segera mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya serta BBP Batu Lintang ke lokasi kejadian.
Menurut Komander Operasi Kanan, Latif Iring, setibanya pasukan bomba pada jam 9.02 pagi, kebakaran melibatkan tiga rumah berstruktur kekal dengan keluasan anggaran 20 x 40 kaki persegi.
“Rumah bernombor 328 B terbakar sepenuhnya, manakala rumah 328 A mengalami kerosakan lima peratus dan rumah 328 C sebanyak 30 peratus terutamanya pada bahagian siling luar.
“Operasi pemadaman melibatkan 22 anggota dengan kekuatan dua jentera bomba (FRT), dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua kenderaan Hilux.
Beliau berkata tindakan pemadaman dilakukan secara ofensif dan defensif bagi mengawal api daripada merebak.
“Operasi pemadaman berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada jam 9.14 pagi, dan kerja-kerja pemeriksaan menyeluruh selesai dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca api dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.59 pagi.
“Didapati rumah 328 A tidak berpenghuni dan dijadikan homestay oleh pemiliknya.
“Rumah 328 B dihuni lekai berusia 64 tahun, bersama seorang dewasa dan dua kanak-kanak manakala rumah 328 C pula tidak berpenghuni semasa kejadian,” jelasnya.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.