





DARO: Jambatan Muara Lassa yang menelan belanja RM597.58 juta bakal memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi di Daerah Daro dan Matu amnya serta kawasan Lembah Rajang keseluruhannya.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jambatan sepanjang 2.43 kilometer itu, kedua terpanjang di Sarawak, sudah pasti akan menjadi penggerak pembangunan setempat termasuk di kawasan Pulau Bruit.
“Saya mengambil kesempataan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) diketuai Datuk Amar Douglas Uggah Embas, timbalan-timbalan menteri, seluruh tim JKR (Jabatan Kerja Raya) serta kontraktor yang telah dapat melaksanakan tugasnya untuk menyiapkan projek Jambatan Muara Lassa seperti mana yang kita lihat pada hari ini.
“Saya juga bersempatan untuk naik motosikal dan melimpasi jalan lebih kurang 2.43 km dan ia sangat lancar. Sudah tentu jambatan ini akan menjadi ‘catalyst’ (penggerak) pembangunan Daro dan juga Pulau Bruit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Jambatan Muara Lassa, di sini hari ini.
Abang Johari berkata, di kawasan Pulau Bruit dan Tanjung Manis pula akan dihubungkan dengan Jambatan Paloh yang dijangka siap tahun depan.
“Ini bermakna seluruh kawasan Kuala Rajang termasuk Igan akan dihubungi untuk pembangunan sekali gus dapat kita laksanakan mengikut kegiataan ekonomi termasuklah ‘carbon storage’ (pemerapan karbon) kerana kawasan ini banyak mengandungi (tanah) paya.
“Dan selapas ini, sudah tentu kalau Jambatan Batang Rajang di Sarikei dijangkakan (siap) pada Mac tahun ini akan menghubungi kawasan ini kepada Sarikei dan Sarikei terus ke Sibu.
“Jadi bermakna, agenda untuk kita membangunkan jaringan jalan raya dan jambatan yang telah kita idamkan akhirnya dilaksana,” katanya.
Abang Johari berkata, jambatan tersebut dibina dengan menggunakan dana kerajaan Sarawak dan tidak mengenakan caj tol.
“Ia adalah ‘toll free’ jambatan bermaksud orang ramai ulang alik tidak ada bayaran dan itu semuanya disebabkan kedudukan kewangan Sarawak yang kita beri balik kepada rakyat, kegiatan ekonomi akan terus berjalan di kawasan ini,” katanya.
Abang Johari juga berkata, kerajaan Sarawak akan membelanjakan peruntukan sebanyak RM6 bilion sehingga 2030 untuk melaksanakan projek bekalan air ke kawasan luar bandar.
“Projek pembinaan grid bekalan air itu termasuk pembinaan loji air dan penggantian paip-paip lama agar tidak pecah,” katanya.
Beliau berkata, penyediaan kemudahan infrastruktur memerlukan dana yang amat besar.
“Tugas untuk mencari dana itu dipikul oleh pemimpin-pemimpin kerajaan di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan apa yang perlu dilakukan oleh rakyat pula adalah untuk memastikan perpaduan di kalangan mereka kekal dijaga dengan kuat.
“Selagi GPS memerintah, kita akan terus membangunkan kawasan sama ada bandar ataupun luar bandar.
“Saya jangkakan pendapatan Sarawak pada tahun ini akan meningkat kepada RM14.2 billion. Doakanlah supaya kita dapat tingkatkan pendapatan kita,” katanya.
Turut hadir ialah dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad; Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi dan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab.
Oleh AKUN GIMAN