


TATAU: Tindakan awal pihak sekolah menggunakan alat pemadam api berjaya memperlahankan kebakaran stor di bawah kuarters guru SMK Tatau sebelum ketibaan pasukan bomba petang tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari pihak sekolah pada jam 6.24 petang sebelum mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati pihak sekolah telah menggunakan tiga unit alat pemadam api jenis debu kering untuk mengawal kebakaran.
“Pasukan bomba kemudian meneruskan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 66.6 meter bagi memastikan api dipadam sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.
Kebakaran itu melibatkan sebuah stor yang menyimpan peralatan pertukangan dan elektrik, dengan kemusnahan dianggarkan sekitar 10 peratus.
Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.35 petang, sebelum kerja-kerja pemeriksaan menyeluruh dijalankan bagi memastikan tiada punca api tertinggal.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut manakala punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba.