Persembahan boneka dalam bahasa Inggeris tarik minat murid-murid SJK Chung San

Facebook
WhatsApp
MURID-murid SJKC Chung San di Sebauh teruja menyaksikan persembahan boneka dalam Bahasa Inggeris yang dianjurkan dengan kerjasama Perpustakaan Awam BDA baru-baru ini. Foto Perpustakaan Awam BDA

SEBAUH: Murid-murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung San baru-baru ini dihiburkan dengan persembahan boneka dalam bahasa Inggeris yang dianjurkan dengan kerjasama Perpustakaan Awam Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) sebagai sebahagian daripada Highly Immersive Program (HIP).

Menurut Perpustakaan Awam BDA, kolaboratif itu adalah sebahagian daripada usaha mereka untuk memperluas perkhidmatan perpustakaan kepada komuniti.

Selain itu, sesi Kuiz Literasi Maklumat turut diadakan bagi menguji kefahaman murid terhadap kandungan cerita serta meningkatkan daya pemikiran kritis mereka. 

Aktiviti seumpama itu bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan tetapi juga menggalakkan interaksi aktif dalam kalangan pelajar.

Program tersebut selaras dengan usaha memperkasa pendidikan komuniti melalui pendekatan yang lebih dinamik dan menyeronokkan.

“Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada SJK Chung San di Sebauh kerana memberi peluang kepada kami untuk berkongsi ilmu dan kegembiraan bersama murid.

“Semoga program ini memberi manfaat besar dalam pembelajaran Bahasa Inggeris di SJK Chung San,” ujar kenyataan itu.