


BINTULU: Seorang lelaki maut selepas lori tiga tan yang dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok di hadapan Kilang Daiken, Kidurong di sini, petang tadi.
Mangsa dikenal pasti sebagai Muhamad Arif, 50, merupakan warga Indonesia disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) di tempat kejadian.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.30 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kemalangan kendiri melibatkan sebuah lori tiga tan telah terbabas di tepi jalan dan melanggar sebatang pokok.
“Seorang mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM yang turut berada di lokasi kejadian,” katanya.
Pasukan penyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.