
SIBU: Seorang penunggang motosikal maut di tempat kejadian selepas melanggar bahagian belakang sebuah lori lima tan di sepanjang Jalan Tun Zaidi Adruce di sini, malam tadi.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah Sibu, Mejar Wan Mohd Jabir Wan Mohd Badrudin berkata, kejadian berlaku sekitar 7.25 malam ketika salah satu pasukan mereka dalam perjalanan pulang ke pejabat, dan menemui lokasi kemalangan tersebut.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan kami mendapati seorang lelaki dewasa terbaring di belakang lori dalam keadaan berlumuran darah di bahagian muka dan kepala serta tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, dua doktor gigi yang kebetulan berada di lokasi turut membantu memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) terhadap mangsa bersama anggota APM, namun mangsa tidak memberi tindak balas.
“Pasukan perubatan dari hospital tiba di lokasi dan melakukan CPR sekali lagi, sebelum mengesahkan mangsa telah meninggal dunia pada 7.51 malam,” tambahnya.
Mangsa dikenali sebagai Zakaria Latif, 39, dan mayat Allahyarham diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Oleh Tarani Lanting