
SIBU: Kerja membaik pulih jalan yang runtuh di Perumahan Rantau Panjang Jaya baru-baru ini dianggarkan menelan kos RM7 juta, dengan peruntukan diperoleh daripada tabung bencana.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting berkata, kerja pemulihan akan merangkumi pemasangan cerucuk (sheet piling) bagi menstabilkan kawasan terjejas akibat hakisan tanah di bawah pagar sepanjang longkang yang menjadi punca runtuhan jalan.
“Kami (MPS) telah mengadakan mesyuarat kecemasan bagi menangani isu ini dan telah mengemukakan permohonan peruntukan.
“Kami faham penduduk berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan segera, namun kerja melibatkan struktur seperti ini tidak boleh dilakukan dengan tergesa-gesa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam Tahun Baharu Cina Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Cawangan Pelawan, semalam.
Menurutnya, MPS akan berusaha melaksanakan kerja baik pulih dengan segera dan reka bentuk serta pelaksanaannya akan diserahkan kepada jurutera pakar.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa kerja menaikkan aras jalan di Pulau Li Hua akan dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir pada masa hadapan.
Katanya, projek itu akan dibiayai menerusi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Kami akan mengemukakan rancangan ini kepada kerajaan sebelum menaik taraf semua jalan di kawasan perumahan tersebut.
“Langkah ini diharap dapat membantu mengurangkan masalah banjir di kawasan berkenaan pada masa akan datang,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang.
Oleh Tarani Lanting