
SIBU: Seorang remaja lelaki tempatan diperiksa dan ditahan dalam operasi samseng jalanan di sekitar Sibu Jaya dan Jalan Ramli Amit Sibu.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, lelaki berusia 17 tahun itu ditahan kerana disyaiki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, dalam operasi yang dijalankan oleh sepasukan polis trafik IPD Sibu antara jam 5.30 petang hingga 1.30 pagi, seramai 13 orang lelaki dan dua wanita diperiksa.
“Sebanyak 24 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, antaranya seperti kesalahan lesen kenderaan motor tamat tempoh, ubah suai struktur, ubah suai ekzos dan tiada cermin sisi.
“Turut ditahan juga tujuh motosikal yang ditahan di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan untuk tujuan dokumentasi,” katanya menerusi siaran media.
Katanya, pihak polis menasihatkan orang awam supaya mematuhi undang-undang jalan raya.
“Ibu bapa juga disaran supaya pantau dan peka dengan aktiviti anak mereka agar tidak terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang,” kata beliau.
Oleh Akun Giman