


SIMUNJAN: Seorang bapa dan anak perempuannya meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori 10 tan di Jalan Gedong di sini, hari ini.
Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden pada 1.26 petang.
Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan anggota dengan kekuatan tujuh orang dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, Komander Operasi memaklumkan kemalangan melibatkan sebuah Proton Wira Aeroback dan lori 10 tan muatan minyak dan terdapat mangsa (pemandu Proton Wira) masih berada di dalam kereta.
“Sementara itu, tiga lagi mangsa telah tercampak keluar dari kereta semasa kemalangan berlaku,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, pihak bomba kemudian bertindak mengeluarkan mayat mangsa dari dalam kereta sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan KKM.
Selain itu, anak perempuan mangsa yang tercampak keluar dari kereta turut disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Sementara itu, dua lagi mangsa iaitu seorang wanita dewasa dan kanak-kanak perempuan terselamat namun mengalami cedera parah.
“Kedua-dua mangsa yang cedera parah kemudian dikejarkan ke Hospital Simunjan bagi mendapatkan rawatan lanjut manakala dua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” tambahnya.
Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Sim Geok Chiew, 37, dan anak perempuannya.
Beliau pada masa sama memaklumkan pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 3.15 petang setelah pasukan bomba melakukan kerja-kerja pembersihan dan memastikan kawasan kembali selamat.